FOLLOW ME.......... T.Q

DAN HARI MALAYSIA UCAPAN IKLAS DARI 9W2PHJ/PRPHJ

Khamis, 31 Disember 2009

GEREJA DI BENAR GUNA KALIMAH ALLAH


KUALA LUMPUR 31 Dis. – Gereja Katolik dibenarkan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald - The Catholic Weekly setelah Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa setiap individu mempunyai hak berperlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah.
Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Lau Bee Lan ketika membenarkan permohonan tersebut berkata, Gereja Katolik selaku pemohon mempunyai hak untuk berbuat demikian di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa menjadi satu kesalahan bagi seseorang bukan Islam untuk menggunakan perkataan Allah kepada umat Islam untuk menyebarkan agamanya.
Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu sesama mereka bagi tujuan agama mereka.
Hakim tersebut juga bersependapat dengan pemohon bahawa Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam selaku agama rasmi tidak memberi kuasa atau membenarkan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia menghalang gereja tersebut daripada menggunakan perkataan Allah.
Penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan itu juga, menurut beliau, merupakan sebahagian daripada hak untuk bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.
Dalam penghakiman lisannya, hakim itu menyatakan, perintah larangan yang dikeluarkan menyatakan penggunaan perkataan tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham di kalangan umat Islam serta menggugat ketenteraman negara.
‘‘Pihak responden dalam hujahnya bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti bagaimana penggunaan perkataan Allah boleh mengganggu ketenteraman awam,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan, keputusan Menteri Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan itu menggunakan perkataan ‘Allah’ adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah.
Hakim Bee Lan memutuskan demikian dalam semakan kehakiman oleh Gereja Katolik yang difailkan melalui Ketua Paderi, Tan Sri Murphy Pakiam dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Gereja Katolik antara lain menuntut perisytiharan bahawa keputusan responden pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan Allah dalam Herald-The Catholic Weekly adalah menyalahi undang-undang dan perkataan Allah bukan eksklusif untuk kegunaan agama Islam sahaja.
Sejurus keputusan itu diumumkan, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said meminta penjelasan sama ada ketetapan tersebut mempengaruhi permit penerbitan berkenaan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2010.
Ini kerana, katanya, permohonan itu dibuat berdasarkan larangan terhadap permit bertarikh 1 Januari hingga 31 Disember 2009.
Peguam Porres Royan yang mewakili gereja itu sebaliknya menyatakan keputusan telah pun dikeluarkan hari ini dan terpulang kepada pihak-pihak yang terlibat untuk mentafsirkannya.
***********************************************************************************
BAHAN BUANGAN JANA ELEKTRIK


KOTA KINABALU 31 Dis. – Bahan buangan berbentuk sisa pepejal atau cecair sebenarnya mempunyai manfaat dan kegunaan bagi menyelamatkan persekitaran dan manusia.
Ini kerana, bukan semua benda yang terkandung dalam bahan buangan tersebut tidak berguna, sebaliknya jika diaplikasikan dengan betul ia mampu mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada semua pihak.
Sebagai contoh, biomas atau bahan sisa tanaman termasuk kelapa sawit mampu menjana kuasa elektrik.
Kaedah ini tidak mustahil untuk digunakan apa lagi pada masa ini isu bekalan elektrik di Sabah menjadi perdebatan di kalangan organisasi berkaitan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Ia timbul berikutan cadangan kerajaan untuk membina janakuasa 300 megawatt mengunakan arang batu di Lahad Datu yang bertujuan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga di pantai timur Sabah.
Hakikatnya, Sabah mempunyai 1.4 juta hektar tanaman kelapa sawit dan terdapat lebih 400 kilang sawit yang kebanyakan kilang sawit terletak di kawasan Kelompok Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu.
Setiap kilang sawit mempunyai sisa buangan kilang dalam bentuk biomas (tandan sawit) dikenali sebagai tandan kelapa sawit kosong (EFB) dan bahan kumbahan kilang (POME).
EFB dan POME biasanya dibuang begitu sahaja. EFB dijadikan baja dan POME disalurkan ke dalam kolam mendapan untuk proses pereputan.
Kedua-dua sisa ini membebaskan gas metana (biogas) yang juga merupakan gas rumah hijau yang berbahaya.
Bagaimanapun, jika diurus dengan betul, sisa buangan itu boleh diproses dan digunakan untuk menjana tenaga.
Penyelaras Program Organisasi Kerjasama Komuniti (Pacos), Adrian Lasimbang berkata, antara pendekatan yang boleh digunakan untuk menjana tenaga menggunakan bahan buangan itu adalah dengan mengumpul pelepasan gas metana berkenaan mengunakan tangki khas berbentuk kubah.
Menurutnya, semua bahan kumbahan kilang akan diproses dan dimasukkan ke dalam tangki itu bagi menghasilkan gas metana, sebelum disalurkan untuk menggerakkan turbin janakuasa elektrik.

Adrian Lasimbang


‘‘Selain itu, jika EFB dibakar, ia akan menghasilkan gas hidrokarbon yang boleh terbakar. Gas ini boleh digunakan untuk menjalankan enjin janakuasa elektrik atau dibakar menghasilkan stim,”
Beliau menambah, satu lagi cara yang boleh digunakan ialah meleburkan sisa biomas itu untuk menghasilkan stim yang akan digunakan bagi memutarkan turbin janakuasa.
Menurutnya, kaedah itu biasa digunakan dalam skala besar pengeluaran tenaga elektrik antara 20 hingga 500 megawatt.
‘‘Semua teknologi ini sudah sedia ada, cuma memerlukan pelaburan untuk infrastruktur kilang dan janakuasa.
‘‘Satu cadangan saya adalah menggunakan kombinasi ketiga-tiga teknologi ini dalam satu janakuasa. Ini dinamakan sistem CHP (Combined Heat and Power).
‘‘CHP menggabungkan teknologi penyerapan haba dan penjanaan kuasa elektrik,” katanya.
Adrian berkata, sistem itu bukan sahaja boleh membawa manfaat kepada alam sekitar, malah ia juga membantu Malaysia untuk mencapai komitmen negara di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, perkara utama yang lebih penting ialah sejauh mana kesanggupan semua pihak terutama kerajaan dalam melaksanakannya.
Seperti kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Jika kerajaan serius dan bersungguh-sungguh, masalah kekurangan bekalan tenaga elektrik di Sabah dan isu janakuasa arang batu di Lahad Datu mungkin dapat diatasi.
Ia juga sejajar dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus pada 2020.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan