FOLLOW ME.......... T.Q

DAN HARI MALAYSIA UCAPAN IKLAS DARI 9W2PHJ/PRPHJ

Rabu, 27 Januari 2010

Iraq terus digegarkan serangan bom






BAGHDAD 26 Jan. - Seorang pengebom berani mati membunuh sekurang-kurangnya 18 orang dan mencederakan 80 yang lain apabila dia meletupkan kereta yang dipandunya dekat bangunan pejabat forensik Kementerian Dalam Negeri Iraq di tengah Baghdad hari ini.

Ramai mangsa yang cedera atau terkorban apabila kenderaan yang membawa bom itu meletup dekat pejabat tersebut adalah anggota polis, kata seorang pegawai kementerian.

"Bangunan itu runtuh sejurus selepas letupan. Berpuluh-puluh orang selalunya bekerja di institut forensik itu," katanya.

Serangan lewat pagi itu berlaku sehari selepas pengebom nekad meletupkan tiga buah hotel berturut-turut yang terkenal di kalangan wartawan Barat di Baghdad, dalam serangan terancang yang mengorbankan 41 nyawa dan mencederakan 106 yang lain.

Serangan tersebut merupakan satu lagi tamparan kepada kerajaan Iraq yang telah sedia bergelut dalam menjelaskan kesilapan keselamatan yang membenarkan pengebom melancarkan serangan besar di ibu negaranya sejak Ogos lalu, sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang kestabilan negara itu menjelang pilihan raya Parlimen 7 Mac depan.

Letupan itu dilakukan dalam tempoh 15 minit sejurus sebelum Iraq mengumumkan pihaknya telah menjalankan hukuman gantung ke atas orang kanan Saddam Hussien, Ali Hassan al-Majid atau 'Ali Kimia' dan menimbulkan spekulasi tentang kaitan yang mungkin dengan serangan tersebut.

Letupan pertama menggegar berhampiran Hotel Sheraton, di sepanjang laluan pejalan kaki Abu Nawas, bertentangan Sungai Tigris daripada Zon Hijau.

Letupan kuat itu meruntuhkan dinding konkrit setinggi 3.05 meter dan seberat tujuh tan yang melindungi tapak tersebut, merosakkan kenderaan serta beberapa bangunan lain.

Serpihan logam serta kepingan kaca turut bertaburan di padang rumput dan pekarangan restoran-restoran ikan terkenal di sepanjang sungai itu.

Dua lagi letupan berlaku beberapa minit kemudian, berhampiran Hotel Babylon serta Hotel Hamra yang popular di kalangan wartawan Barat dan kontraktor keselamatan asing.

Menurut polis dan pengawal, anggota militan berpakaian sut perniagaan yang berjalan di sebelah kereta yang dipenuhi bahan letupan, melepaskan tembakan ke arah tempat pemeriksaan keselamatan di Hotel Hamra.

Hotel tersebut serta kawasannya menempatkan beberapa organisasi berita Barat di Baghdad antaranya The Washington Post, McClatchy Newspapers, NBC dan The Los Angeles Times.

Tiada warga Barat dilapor terbunuh atau cedera parah dalam ketiga-tiga serangan itu yang dilancarkan semalam.

Menurut laporan awal, 16 mangsa dilapor maut di Hotel Hamra, 14 di Hotel Sheraton sementara bakinya di Hotel Babylon, termasuk dua anggota polis.










Tiada ulasan:

Catat Ulasan