FOLLOW ME.......... T.Q

DAN HARI MALAYSIA UCAPAN IKLAS DARI 9W2PHJ/PRPHJ

Sabtu, 26 Disember 2009

10 MAUT TRAJEDI BAS EXPRESS 2 TINGKAT/SUASANA PILU DI RUMAH MAYAT


BAS ekspres dua tingkat yang terkoyak di bahagian tepi apabila merempuh besi pembahagi jalan yang kemudian merodok tempat duduk bawah mengakibatkan sepuluh penumpang terbunuh di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara pada awal pagi semalam.


IPOH 26 Dis. – Seramai 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat, Sani Express terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, lapan kilometer dari Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, awal pagi ini.
Nahas ngeri tersebut menyebabkan ada di antara penumpang putus kepala serta beberapa anggota badan lain.
Mereka yang maut ialah pasangan suami isteri, Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46, dari Klang, Selangor; Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22, serta Mohd. Bilal Osman, 22, dari Sungai Besar, Selangor, Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dan adiknya, Sharifah Hasanah, 15, (Sungai Petani, Kedah).
Turut maut, Musa @ Ismail Abdullah, 64, dari Gurun, Kedah; Noor Jasmi Noordin, 25, Kangar, Perlis; Ng Kah Kit, 14, dan Ng Poh Ngoh, 23, dari Alor Setar.
Penumpang yang parah dalam kemalangan kira-kira pukul 1 pagi itu ialah Md. Razip Fadzir, 38, seorang pegawai tentera berpangkat Mejar manakala Siti Munira Hashim, 30, dari Langgar, Kedah, cedera ringan.
Ketua Trafik negeri, Supritendan Wan Abdullah Wan Ishak berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk bedah siasat manakala kedua-dua mereka yang cedera menerima rawatan di hospital sama.


“Mereka yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang di tingkat bawah bas. Penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan, bas ekspres yang membawa seramai 48 penumpang itu bertolak dari Klang menuju ke Kangar pada pukul 9 malam tadi.
Malangnya, ketika tiba di tempat kejadian, bas terbabit dikatakan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya.
Keadaan bertambah buruk apabila bas itu kemudian melantun dan merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti.
Menurut Wan Abdullah, siasatan awal mendapati, besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan kepada penumpang-penumpang berkenaan.
Sehubungan itu katanya, pemandu bas ketika kemalangan tersebut telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu tersebut dikatakan berhenti sebentar di hentian rehat dan rawat (R&R) Tapah bagi membolehkan penumpang ke tandas sebelum menyambung semula perjalanan seterusnya.
Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa, pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum berlaku kemalangan.
“Bas dipandu dalam keadaan tidak stabil, terhuyung-hayang ke kiri dan kanan sebelum kejadian,” dakwanya.
Dia yang duduk di bahagian depan tingkat atas bas ketika kemalangan tersebut berlaku berkata, keadaan penumpang ketika itu kelam-kabut dan dalam ketakutan.
*************************************************************************************
WALAUPUN SAYA SOROK BEG,EMAK TETAP NAK IKUT AYAH - Anak



SUKHAIRY Shaharin (kiri) dan adiknya, Mohd. Rifandi
Shaharin tidak dapat menahan kesedihan setelah mengenal pasti jenazah ibu bapanya, Shaharin Mohd. Noor dan Supiah Adam yang maut dalam kemalangan jalan raya di Hospital Ipoh, semalam.

Gurauan mesra dan rayuan seorang anak meminta agar ibunya membatalkan hasrat mengikuti si suami, rupa-rupanya petanda bahawa dia bakal kehilangan kedua-dua orang yang dikasihi itu sekali gus.
Sukhairy Shaharin, 24, berkata, dia tidak pernah terfikir akan kehilangan ibu bapanya serentak seperti berita yang diterimanya kira-kira pukul 5 pagi tadi.
"Saya terima panggilan daripada telefon bapa yang dibuat oleh seorang pegawai polis memaklumkan kemalangan ini dan minta saya untuk mengenal pasti mayat.
"Sukar nak percaya berita ini tetapi saya kena terima hakikat kehilangan orang yang saya sayang sekali gus," katanya yang tidak dapat menahan perasaan sedih ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, masih terbayang-bayang di matanya tentang gurauan meminta ibunya, Supiah Adam, 46, tidak meneruskan hasrat untuk mengikuti bapanya, Shaharin Mohd. Nor, 61, ke Kangar, Perlis.
"Bapa ke sana atas urusan kerja, dia nak ambil kereta syarikat. Ibu memang selalu ikut bapa... Tapi semalam, saya tarik dan sorok beg ibu belakang pintu, minta dia tak pergi. Ibu kata, dia nak pergi juga," katanya sayu.
Kata Sukhairy, ketika menghantar kedua-dua mereka ke stesen bas di Shah Alam, pada pukul 9 malam tadi, bapanya sempat berpesan supaya dia menjaga adik-adik dengan baik.
"Bapa sempat cakap dengan saya, dia minta tolong supaya saya menjaga adik elok-elok, tak sangka ini pesanannya yang terakhir," ujarnya.
Dalam masa sama, Sukhairy kesal dengan sikap segelintir pemandu bas yang tidak mengambil kira keselamatan para penumpang dan perasaan keluarga mereka.
"Saya nak beritahu kepada pemandu-pemandu bas supaya memandulah dengan berhati-hati kerana ini melibatkan orang yang tak berdosa dan keluarga mereka.
"Jangan kerana pentingkan diri, orang lain yang menjadi mangsa," katanya
*************************************************************************************
SUASANA PILU DI RUMAH MAYAT


SHARIFAH Faridah Syed Osman bersama dua jenazah anak perempuannya, Sharifah Raheel AlJunid Syed Harun dan Sharifah Hasanah Syed Harun di Hospital Ipoh, semalam. Gambar kecil gambar Faridah bersama Sharifah Raheel (kiri) dan Sharifah Hasanah.


Suasana pilu dan sayu menyelubungi pekarangan rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini, apabila ahli keluarga dan sanak saudara mangsa kemalangan maut membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat dekat sini, hadir menuntut mayat ahli keluarga masing-masing.
Mereka tiba seawal pukul 8 pagi bagi mengenal pasti mangsa sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halaman.
Ada antara yang hadir, gagal menerima kenyataan kehilangan orang tersayang sehingga terpaksa ditenteramkan oleh anggota polis bertugas dan ahli keluarga terdekat.
Hakikatnya, mereka bukan sahaja kehilangan seorang ibu, bapa, adik, abang atau kakak, tetapi ada yang kehilangan kedua ibu bapa dan adik-beradik serentak.
Bagi Sharifah Faridah Syed Osman, 50, dari Sungai Petani, Kedah, dia kehilangan dua anaknya serentak iaitu Sharifah Raheel Al-Junid Syed Harun, 21, dan Sharifah Hasanah Al-Junid Syed Harun, 15.
Sharifah Faridah nyata gagal menahan kesedihan sehingga terpaksa dipapah sejurus mengecam mayat kedua-dua anaknya itu kira-kira pukul 10 pagi.
Apa yang mampu diluahkan hanyalah: "Ya Allah anakku. Ya Allah rahmatilah anakku," berulang-ulang kali sambil menangis teresak-esak.
Kepiluan turut dirasai pasangan Ng Chin Beng, 47, dan isterinya, Lim Swee Gun, 50, apabila kehilangan anak lelaki, Ng Kah Kit, 14, dan anak perempuan mereka, Ng Poh Ngoh, 23, juga serentak.
Menurut Ng Chin Beng, Poh Ngoh baru sahaja tamat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan memiliki Ijazah Sarjana Muda Multimedia.
Malah, kegembiraannya mendengar berita kejayaan anak perempuannya dalam satu temu duga pekerjaan di sebuah syarikat di Kuala Lumpur hanya bertahan sementara.
"Dia beritahu saya dia akan mula bekerja di Kuala Lumpur pada 4 Januari ini. Tapi sekarang dia sudah tak ada," katanya sebak.
Chin Beng berkata, dia mula mengesyaki sesuatu apabila telefon bimbit Poh Ngoh, yang dihubungi awal pagi ini tidak berjawab.
"Saya kemudian hubungi telefon Kah Kit tetapi dijawab oleh anggota polis yang memaklumkan kematian dua anak saya itu," ujarnya.
Poh Ngoh merupakan anak pertama dan Kah Kit ialah anak bongsu daripada empat beradik. Kedua-dua mereka berada di Kuala Lumpur sejak beberapa hari lalu.
Sukhairy Shaharin, 24, anak kepada Shaharin Mohd. Nor, 61, dan Supiah Adam, 46, pula pada mulanya tidak dapat menerima hakikat kehilangan kedua ibu bapanya itu.
Namun, selepas dipujuk dan diberikan nasihat oleh ahli keluarga dan anggota polis yang bertugas, dia kemudian kelihatan tenang dan dapat mengawal emosi.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang sempat meluangkan masa melawat keluarga mangsa di rumah mayat hospital, mengucapkan takziah dan berharap keluarga mangsa bersabar menghadapi dugaan.
*************************************************************************************
KELUARGA MANGSA ANGGAP TRAJEDI KETENTUAN TUHAN
KLANG 26 Dis. - Anak pasangan mangsa kemalangan bas ekspres dua tingkat di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan, menghala utara, awal pagi ini, menyifatkan pemergian kedua ibu bapanya satu ketentuan daripada Allah.
Mohd. Arif Andi Shaharin, 23, berkata, dia serta adik beradiknya terkejut apabila mendapat berita kematian ibu bapanya kira-kira pukul 7 pagi ini.
Katanya, dia tidak menyangka keluarganya terlibat dalam kemalangan itu kerana bapanya, Shaharin Mohd. Nor, 61, sering berulang-alik ke utara atas urusan kerja.
"Kadang kala bapa akan ditemani ibu, Supiah Adam, 46. Memang arwah bapa memaklumkan untuk pergi ke Kuala Perlis mengambil kereta untuk dibawa pulang ke Pelabuhan Barat.
"Bagaimanapun, kami reda akan pemergian kedua-dua ibu bapa kami," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Setia di sini hari ini.
Mohd. Arif berkata, dia dan empat lagi adik beradiknya, Sukhairy, 24; Mohd. Helmi, 20; Shuhada, 17; dan Faiz, 14, terus bergegas ke Hospital Ipoh sejurus dimaklumkan mengenai kejadian menimpa ibu bapanya itu.
Dalam pada itu, rakan karib Shaharin, Zaiain Bedin, 34, memberitahu, sebelum kejadian, Allahyarham menunjukkan perbezaan apabila sering dilihat berpakaian kemas dengan wajah yang berseri-seri ke tempat kerja.
Sebelum ini, katanya, Allahyarham Shaharin sering memakai pakaian seragam dan kali terakhir beliau menemui arwah pada Khamis lalu.
"Ketika itu, saya lihat Allahyarham ceria. Namun, saya tidak terfikir pula itu adalah kali terakhir saya menemui dan bercakap dengannya," ujarnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, 10 penumpang bas tersebut terbunuh setelah kenderaan itu terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri di Kilometer 272.8 Lebuhraya Utara Selatan, menghala utara.
Sementara itu, ibu Mohd. Bilal Osman, 22, yang turut terbunuh dalam nahas itu, Hamisah Suki, 48, berkata, dia dapat merasakan sesuatu tidak kena ketika menghantar anaknya menaiki bas berkenaan di Hentian Sungai Besar petang semalam.
Katanya, ketika kejadian, anak ketiga daripada 10 beradik itu dalam perjalanan ke Perlis untuk meneruskan pengajiannya di Universiti Malaysia Perlis (UMP) setelah cuti semester berakhir.
"Pada awalnya, suami saya memang nak hantar Bilal terus ke Perlis tetapi arwah mahu menaiki bas dengan rakan karibnya (Mohd. Shukri Mohd. Ali, 22, yang turut maut) kerana tidak mahu menyusahkan kami.
"Kami pun hantar dia ke hentian bas sahaja kerana selama ini pun arwah dengan Mohd. Shukri sering pulang bersama ke universiti atau ke kampung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Satu Barat, Sungai Besar hari ini.
Tambahnya lagi, anaknya itu merupakan seorang yang periang sebelum ini namun secara tiba-tiba berubah menjadi kurang bercakap dan sering berkhayal.
"Selama dia berada dengan kami hampir dua bulan, saya sebagai seorang ibu ada melihat sedikit perubahan Bilal namun tidak menyangka ada sesuatu peristiwa buruk akan terjadi," ujarnya
*************************************************************************************
ABANG TAK SEMPAT RAI KEJAYAAN PMR ADIK.


SUNGAI PETANI 26 Dis. - Kejayaan adik bongsunya mendapat keputusan cemerlang 6A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini menyebabkan Syed Mustafa Al Junid Syed Harun (gambar) tidak sabar-sabar menanti kepulangannya.
Dia dan keluarga sudah merancang untuk meraikannya sebaik sahaja Sharifah Hasanah Al Junid, 15, dan kakaknya, Sharifah Raheel Al Junid, 21, pulang dengan bas ekspres pagi ini.
Namun apakan daya, takdir mengubah segala-galanya apabila Sharifah Hasanah Al Junid terbunuh dalam nahas bas dua tingkat itu yang turut meragut sembilan nyawa lain termasuk kakaknya, Sharifah Raheel Al Junid.
Abang sulung kedua-dua beradik tersebut, Syed Mustafa Al Junid, 27, memberitahu dia menerima berita mengenai kematian saudara perempuannya itu kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
"Kedua-dua adik saya berada di Kuala Lumpur sejak Sabtu lalu untuk melawat sanak-saudara kami di sana.
"Adik bongsu saya, Sharifah Hasanah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dan saya merancang untuk belanja adik saya makan bagi meraikan kejayaannya," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Melor, Sungai Layar di sini, hari ini.
Menurut Syed Mustafa, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul pada 14 Disember yang lalu bagi meraikan majlis perkahwinannya.
"Mereka berdua sungguh ceria pada majlis perkahwinan saya. Saya tidak sangka, majlis itu yang terakhir kami semua berkumpul.
"Tiga hari lalu mereka ada menelefon saya meminta wang bagi membeli tiket bas untuk pulang ke Alor Setar bagi menghadiri majlis perkahwinan sepupu kami di sini," ujarnya.
Katanya, dia langsung tidak menduga akan kehilangan dua adik perempuannya itu sekali gus kerana mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
"Mereka berdua memang adik yang ceria dan disenangi semua kerana sikap yang peramah.
"Pada mulanya, saya ingatkan hanya Sharifah Raheel yang meninggal dunia dalam kemalangan itu kerana seorang lagi mangsa belum dikenal pasti, namun rupanya seorang lagi mangsa juga ialah adik saya," katanya.
Katanya, adik bongsunya itu, Sharifah Hasanah tertinggal kad pengenalan di rumah mereka di sini.
Tambahnya, adiknya itu juga tidak sempat melihat slip keputusan peperiksaan PMR kerana berada di Kuala Lumpur.
"Bapa saya, Syed Harun Al-Junid yang mengambil keputusannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar.
"Saya masih lagi terkejut dengan kematian kedua-dua mereka namun saya reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.
Syed Mustafa memberitahu, jenazah kedua-dua adiknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Majidi, Sungai Layar selepas solat Asar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan